Friday, December 17, 2010

siap sebelum tiba

Ramai orang meminta untuk diakhirkan hidup dengan pengakhiran yang baik atau dalam bahasa arab nya disebut Husnul Khatimah. Tidak kiralah permintaan tersebut dalam arab, melayu, kantonis atau apa bahasa sekali pun, ternyata manusia mendambakan hidup yang baik agar mendapat bekalan terbaik untuk digunakan di akhirat kelak. Selain muslim, penganut agama lain turut meminta pengakhiran yang terbaik dan dapat menjadi manusia yang bermanfaat kepada semua. Namun, sekali pandang mari kita sama-sama fikirkan, apa yang kita sudah lakukan untuk mati dalam keadaan terbaik?

Tarik tali

Mungkin ramai yang biasa dengan permainan tarik tali, tapi pernahkah anda mendengar mereka yang bermain tarik tali dengan tuhan? Mungkin ada yang sedikit pening.

Kita mendambakan pengakhiran yang baik dan kehidupan di akhirat yang sejahtera tapi kita masih berkira-kira untuk mengorbankan diri kita untuk menunaikan suruhan Allah dan meninggalkan larangannya. Kita masih acuh tak acuh. Seakan-akan tidak percaya kepada janji Allah. Adakah begitu?

Ini menjadi cerminan terhadap sejauh mana kita bergantung kepada Allah. Pergantungan kepada Allah menjadi persoalan penting untuk setiap perkara yang dilakukan di dunia ini. Setiap hari tidak dapat tidak kita akan membuat keputusan, memilih antara dua atau lebih. Pastinya kita memerlukan percaturan (baca: strategi) dan ilham terbaik dalam membuat pilihan ini, maka disini memperlihatkan sejauh mana kita bergantung kepada Allah.

Sejak dari bangun tidur, kita memilih untuk bangun bila jam berbunyi pada pukul 5 untuk bertahajjud dahulu atau masih meneruskan tidur. Kita memilih untuk solat berjamaah atau tidak. Kita memilih untuk memakai pakaian samaada atas dasar ingin riak dan menunjuk-nunjuk atau mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Kita memilih untuk makan yang halal. Memilih untuk solat diawal waktu. Memilih untuk mengundi Parti yang betul. Memilih untuk hidup secara Islam. Pilihan-pilihan ini mengajak kita memuhasabah diri sejauh mana aku bergantung kepada Allah pada setiap perkara yang aku lakukan setiap hari.

Pergantungan ini menjadi antara titik tolak kepada manifestasi perlakuan kita selari dengan apa yang kita pinta dalam doa saban hari.

Akhir adalah Mati

Menyebut perihal kematian, ramai sahaja yang menggigil ketakutan bila memikirkan saat sendirian di kubur, saat disoal Munkar dan Nakir, serta saat ingin menjawab persoalan mereka. Tapi, pernahkah kita takut tatkala mencampurkan maksiat dan ketaatan kepada Allah? Memilih untuk kufur pada sebahagian Al-Quran dan beriman kepada sebahagian yang lain? pilihan ini juga menjadi pilihan keramat untuk menjadi penentu kepada bagaimana pengakhiran hidup kita sendiri.

Mati itu pasti, semuanya akan mati. Tapi, sejauh mana kita bersiap sedia untuk mati itu yang perlu lebih difikirkan. Ingatlah, kita akan mati pada bagaimana cara kita hidup.





jangan mudah luntur

Tatkala mempersoalkan sesuatu yang masih releven untuk dibangkitkan, maka ramai pula yang mengatakan, “alah bising aja lebih, kerja tah tak jalan pun”.

Oh, sungguh pesimis!

Tatkala soalan objektif dan peranan asal sesuatu perkara itu ditanya, maka label mencari populariti dan nama murahan dicanangkan.

Oh, sungguh prejudis!

Tatkala erti sebuah integriti mahu diangkat ke atas, maka perumpamaan ibarat si belang mahu menunjuk taring dibangkitkan.

Oh, sungguh skeptikal!

…buntu

siapakah kita?

pada siapakah kita bekerja?

Demi mencari erti sebuah kehidupan, senantiasa optimis pada turun naik mainan roda ini.

Pada tiap raut senyuman yang dilemparkan, cubalah untuk memBERI yang TERBAIK.

Ketahuilah seruan kita yang SATU iaitu pada siapa dan untuk apa dilakukan semua ini.

Cabaran demi cabaran, sentiasa menduga haiwan bernama Manusia.

memilih untuk menjadi Mukmin..

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

‘’Orang mukmin itu sentiasa berada di ambang lima dugaan yang sukar;

1. Mukmin yang dengki kepadanya

2. Munafik yang benci kepadanya

3. Kafir yang memeranginya

4. Syaitan yang menyesatkannya

5. Nafsu yang sering bertarung untuk menewaskannya’’

Menjadi seorang mukmin bukanlah sesuatu yang mudah. Kita tidak lagi sekadar bercakap (bagi yang petah pada percakapannya), mahupun sekadar menuding jari kesana kesini, tetapi kita memerlukan sesuatu yang lebih utuh sebagai asbab untuk terus memilih menjadi Mukmin.

"kamu akan diuji atas apa yang kamu perkatakan"

Demokrasi terpimpin

Assalamualaikum,

warkah ini ditujukan khas kepada Demokrasi di negara ini.

Tahniah. Tahniah. Tahniah.

kami mungkin mendengar dan menyaksikan semuanya dari media arus perdana,

tapi kami tidak bodoh untuk terus-menerus diperbodohkan selama lebih 50 tahun.

pada sebuah demokrasi yang bernama Terpimpin,

Thursday, November 18, 2010

Islam dan Masyarakat

Bismillahirrahmnirrahim.

Eid Mubarak, Selamat Hari Raya Aidil Adha

Alhamdulillah bersyukur kehadrat ilahi kerana pada tahun ini kita masih dipanjangkan umur dalam nikmat iman dan islam, dan dapat meneruskan lagi sambutan eidul adha bagi tahun 1431H kali ini.

Saban tahun kita menyambut pelbagai perayaan dan sambutan-sambutan keagamaan dalam Islam. Tidak kiralah namanya Hari Raya, Maulidur Rasul atau hari-hari kebesaran yang lain, semuanya mempunyai tujuan yang satu iaitu untuk mencari redha Ilahi.

Islam dan Komuniti

Sedar atau tidak, ibadah dalam Islam sebenarnya berkait rapat dengan komuniti atau masyarakat tidak kira setempat ataupun secara global. Ibadah dalam rukun Islam sahaja, 4/5 daripadanya jelas menunjukkan hubungkait antara sesuatu amalan yang dilakukan oleh seseorang Muslim itu dengan masyarakat disekelilingnya. Kelebihan solat berjemaah sudah jelas disebut dalam hadith yang muktabar mengenai kelebihannya sebanyak 27 kali ganda.

Ibadah puasa dalam bulan ramadhan pula mempunyai hikmah tersendiri iaitu agar ummat Islam dapat sama-sama merasai kekurangan orang-orang yang susah dalam hidup saban hari. Begitu juga dengan ibadah zakat yang ditunaikan agar kita merasai bagaimana keperitan hidup golongan yang susah, serta mempunyai keringanan dalam menghulurkan kemampuan kita untuk dikongsi bersama. Manakala, hikmah ibadah haji pula adalah sangat besar kerana ianya perlu ditunaikan di Mekah bersama-sama dan bersesak-sesak dengan ummat Islam dari pelbagai bangsa dan negara yang mempunyai pelbagai budaya dan latarbelakang tersendiri.

Bila menyebut berkenaan eidul adha, ianya telah mengajar kita kepada erti hamba dan masyarakat. Mengorbankan binatang ternak bagi yang berada di tanah air sendiri dan menunaikan haji dan berkorban (bagi yang berkemampuan) bagi mereka yang menunaikan haji di mekah membawa kita mengenal erti sebenar Islam sebagai agama fitrah. Fitrah bermaksud Islam ini dijadikan sebagai sesuatu yang suci dan murni dari Allah dan sesuai dengan makhlukNya. Komuniti yang dibina dalam sebuah Negara Islam tidak mesti semuanya adalah Muslim, sebaliknya Islam memayungi bukan Islam selagi mana mereka berada dalam keadaan tidak memerangi kerajaan Islam tersebut. Inilah Islam, datangnya dari Pencipta yang Maha Mengetahui dan Maha Memahami setiap inci kehendak dan kebaikan kepada hamba-hambaNya.

Justeru itu, adalah sesuatu yang janggal bagi seseorang yang menggelar dirinya Muslim, untuk terus tinggal sendirian, melupakan komuniti dan masyarakat yang berada disekelilingnya. Namun begitu, fenomena ini sebenarnya jelas menonjol dalam masyarakat kampus. Mahasiswa menumpu kepada pelajaran dan seakan-akan tenggelam dalam dunia pembelajaran mereka. Takutnya mereka ini akan terlupa pada hakikat sebenar mereka menuntut ilmu, dari kepada mencari keredhaan ilahi dan berkongsi pengetahuan dengan masyarakat sekeliling kepada bermatlamatkan kepentingan diri sendiri. Inikah realitinya?

Eidul Adha tidak lagi perlu dilihat sebagai hanya pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alaihimassalam semata-mata, tapi lebih dari sekadar itu ianya membawa kita mengenal dan bertindak pada erti memberi diri kita kemampuan untuk mendefinisikan korban dalam segala aspek demi mencari redha ilahi. Tambahan pula dalam membentuk masyarakat Islam yang baik taraf sosio-ekonomi dan budayanya.

Salam Eidul Adha


Friday, October 29, 2010

berpagi-pagi pada yang optimis




Jangan mulakan pagimu dengan dosa
Pasti harimu kelak penuh duka
Jangan penuhkan harimu dengan noda
Nanti dihujung kau pasti terluka



Pastikan harimu penuh senyum mesra
Ianya kunci bahagia
Membuat semua gembira
Pasti ada berkat dan kata suka



Hari ini kita berdiri menggengam budi
Pada erti memberi
Agar semua memahami
Pada maksud sebuah penghidupan ‘abdi
Kita tidak mahu sekadar menongkat langit sehingga mati
Agar semuanya pada diri ini
Ikhlas, Hanya untuk Rabbi



Abdikan dirimu wahai hamba
Agar kau tahu pada erti pencipta
Menjadikan fitrah adalah sebuah bahagia
Kelak hidupmu antara dua sahaja
Kekal di syurga
atau; Sengsara di neraka





Thursday, October 28, 2010

Pada Erti Cahaya Matahari

gambar hiasan


Ku bertanya pada awan,
“Kemana matahari menghilang wahai kawan?”
Tidak muncul tiba seperti kebiasaan.


Awan tiba-tiba menyendiri dan menyepi,
“Bukankah kau merasa cahayanya pagi ini?”
“Kenapa masih kau perlukan Sang Matahari?”


kekadang ada yang cuba melindung cahayaNya


Ngomel awan lagi
“Kadang-kadang dia hanya membiarkan cahayanya bersinar pergi
Agar kau tahu dan mengerti
Pada makna memberi”


sehingga saat hilang cahayaNya, baru kita cuba menghargai Dia


Usai pagi melabuh tirai,
Aku termenung di kaki pantai
Menafsir dan mencari
Pada erti memberi
Sang Matahari.







Monday, October 25, 2010

Sandarkan hanya kepada Allah


Dalam kehidupan ini, kita pasti akan ditimpa seribu satu masalah, ujian dan cabaran. Susah atau senang cabaran tersebut, terpaksa juga kita tempuhi untuk terus menghabiskan sisa nyawa di dunia ini. Inilah namanya kehidupan, suka atau tidak iman itu kekadang menaik dan kekadang menjunam tiada berpaksi.

Bagi orang-orang yang beriman, mereka pasti akan meletakkan segalanya-galanya hanya kepada Allah dalam menghadapi ujian-ujian ini. Tidak dapat dinafikan lagi keperluan kita kepada Allah oleh kerana saban hari kita mengungkap bahawasanya hidup, mati, dan amal ibadat kita semua disandarkan kepadaNya. 

Persoalannya, sejauh mana kita beriman dengan apa yang dilafazkan?


Ujian untuk meningkatkan keimanan

Ujian itu adalah suatu ketetapan dan kepastian dari Allah bagi hamba-hambanya, tambahan pula bagi yang mengaku beriman. Kita selalu melupakan siapakah yang memberikan keamanan dan kebahagian dalam hidup kita. Bahkan, sering juga kita melupakan siapakah yang sebenarnya memberi kita makan setiap pagi, petang dan malam. Melupakan pada siapakah kita selalu mengadu bila berlaku kesulitan dalam hidup. Sesekali mungkin ada kita sandarkan pada Allah, tapi jarang-jarang.

Kita lebih meletakkan usaha dan kudrat diri sendiri sebagai pemangkin kepada kebahagian dan kesenangan yang dikecapi. Kita lebih banyak menyebut “aku” dari “Dia” yang menyelesaikan semua ini dan seringkali melupakan kuasa pencipta dalam menentukan segalanya. Alangkah hinanya kita, berasa sombong dan besar diri atas sesuatu yang bukan atas kekuasaan kita. Jangan kita lupa, boleh saja Allah menarik bila-bila masa nikmat dan kurniaan-Nya atas kita jika itu kehendak-Nya. Inilah ujian.


Exam

Peperiksaan adalah salah satu indikatornya. Ramai orang yang meletakkan peperiksaan adalah sukatan terakhir bagi keberjayaan seseorang itu ketika berada di universiti. Dialog-dialog seperti “berapa pointer ko dapat?” selalu sahaja menghias dada sembang harian kita. Sekadar itu sahaja kita mampu berfikir. Oleh yang demikian, ramai pelajar suka meletakkan segalanya hanya menumpukan kepada peperiksaan semata-mata. Sehinggakan aktiviti qiyamullail dan usrah yang diadakan turut dihentikan. Apakah semua ini wahai mahasiswa Islam? Adakah kita meletakkan kepercayaan (baca: keimanan) kita pada usaha kita sendiri? Kalau begitu, kita masih kurang, kurang nya nilai kebergantungan pada Allah. Jadi dimanakah Allah dalam kita menghadapi peperiksaan? Adakah Allah hanya ada sewaktu kita menjawab peperiksaan dan selepas selesai menyerahkan kertas jawapan maka kita seolah-olah mengatakan “Good Bye God! Thanks a lot”? Secara tidak sedar kita telah mensekularkan ilmu yang kita pelajari.

Aspek pergantungan diri pada Allah adalah suatu aspek yang amat besar untuk diceritakan disini. Seorang yang bergantung pada Allah dan memahami erti sebenar pergantungan pada Allah , akan sentiasa mengaitkan tindak tanduknya untuk mencari redha Allah. Segala aktiviti harian, bangun pagi, menghadiri kuliah, solat berjamaah, bacaan zikir, solat sunat, qiamullail, bergurau senda, melawat sahabat handai, menelefon ibu bapa, senyum dan memberi salam pada mak cik cleaner semuanya semata-mata kerana ingin menggapai keredhaan Allah.

Sheikhuna Al-Fadhil Sheikh Muhammad Nuruddin ada menyebut berkaitan erti Mahabbah, ujar beliau, tiadalah mahabbah kepada Allah dan Rasulullah itu tatkala bermain computer sedang azan berkumandang tapi tiada dia meninggalkan urusan dunianya. Apakah mahabbah kita pada Allah dan Rasul-Nya kita lansung mensekularkan urusan pembelajaran kita dengan pergantungan kepada Allah. Tatkala menjawab soalan peperiksaan, yang terbayang diminda kita adalah aku perlu lulus dengan cemerlang dan mendapat pointer terbaik untuk mendapat gaji lumayan agar hidupku lebih senang dan berada selepas ini. Apakah semua ini??

Exam hanyalah sebuah ujian dari ujian-ujian dalam hidup ini. Mungkin bagi sesetengah orang ianya berkaitan lulus dan gagal. Tapi bagi sebahagian yang lain, ianya berkaitan sumbangan yang lebih untuk Islam jika yang diperolehi dari peperiksaan itu adalah a flying color. Ingatlah semua, kita acapkali mengulang dan menghafal hadith berkaitan niat, maka tatkala minggu peperiksaan bakal menjengah ini, mari kita tanyakan pada diri kita sekali lagi, “Kenapa aku belajar sehingga disini aku berada?”

Pesanan ini adalah untuk diri ini yang amat lemah dalam menghadapi ujian dari Allah. Kadang-kadang dalam menghadiri kem-kem senang sahaja kita mengaitkan erti tarbiyah, tadhiyah, pergantungan kepada Allah dan seribu satu lagi istilah-istilah Arab dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam kem tersebut. Tapi ternyata, kita amat lemah dan sentiasa mudah terpesong oleh godaan syaitan pabila kita bersama masyarakat kita mudah melupakan semua itu dan paling utama, senang mensekularkan peranan pergantungan diri pada Allah dalam kehidupan seharian kita.

Kembalilah diri. Kembalilah kepada fitrahmu untuk mengenal siapa sebenar engkau sebagai ciptaan Allah. Tamatkanlah riwayat hidup kami ini dalam jalan Iman dan Islam. Aku amat lemah dan kadang-kadang terjatuh hingga tidak sedar bahawa aku berada dalam zon gelap yang amat hina. Ampunkan diriku Ya Rabb.





P/s: Pesanan untuk diri penulis yang amat hina ini.

Tuesday, October 19, 2010

Waqi'iyyah



Ijtima Tarbawi sudah melabuhkan tirainya. Peserta pulang membawa seribu satu ilmu yang bermakna untuk dikongsikan bersama yang lain. Bukan sekadar itu, ianya lebih kepada bagaimana orang yang mendengar itu dapat mengaplikasi dan menyesuaikan apa yang diperolehi mengikut tempat dan keadaan masing-masing.

Kita lain

“Pelajar-pelajar Mechatronics lain dengan pelajar ICT. ICT waktu lebih lapang, pelajar Mechatronics ni sibuk dan perlukan lebih komitmen”

"Study Hard or Study Smart?" ungkapan yang masih bingung jika difikirkan

Pre-judgment

Kita selalu meletakkan andaian awal bagi sesuatu perkara mengikut apa yang selalu kita hadapi. Mungkin ianya telah menjadi sebahagian dari rutin hidup kita. Pertama kali memandang Susan Boyle siapa sangka dia boleh menjuarai American Idol? Manusia mudah membina prasangka atas sesuatu yang tertanam dalam diri mereka. Inilah juga cabaran yang menghimpit golongan-golongan yang ingin memperjuangkan Islam tetapi tersepit antara pra-sangka yang dibina dan pemahaman situasi dan keadaan sebenar.

Berada dalam gerakan Islam bukanlah sesuatu yang mudah. Ujian, dugaan dan cabaran boleh saja mendatang bila-bila masa. Sirah telah menceritakan bagaimana nabi-nabi serta rasul-rasul terdahulu memahami keadaan dan situasi umat mereka dahulu sebelum berdakwah. Inilah antara persediaan sebelum berjuang. Kita tidak melahirkan ahli yang berjuang atas dasar semangat membabi buta semata-semata , sebaliknya menginginkan mereka-mereka yang berjuang atas dasar kefahaman, dan ini juga menuntut seseorang itu bersedia sebelum berjuang.
      
      Tiger wood yang menjuarai dan membina karyanya melalui sukan golf mempunyai peluang untuk kecundang bagi setiap kejuaraan yang disertainya. Namun, apa yang menbina keyakinan beliau untuk terus menang bagi setiap pertandingan adalah rahsia pada memahami keadaan padang golf dan pengalaman serta latihan yang telah dilalui oleh beliau. Bukan main tangkap muat sahaja! Inilah juga yang menjadi praktikal kepada seorang yang ingin menggalas bebanan yang telah pernah diperjuangkan oleh para rasul terdahulu.

Fiqhul Marhalah

Pemahaman tentang tabiat dakwah yang memerlukan kepada kajian bagi setiap tempat dan situasi menuntut kita untuk membuat beberapa survey sebelum terjun ke dalam masyarakat. Sebagai contohnya, apakah tabiat dan pola pemikiran masyarakat kampus? Apakah biah atau suasana yang membina persekitaran tersebut? Sejauh mana masyarakat tersebut peka dengan isu-isu dalam lingkungan mereka? Inilah yang diungkit dan dikupas oleh Al-Fadhil Ustaz Zulkifli Ismail yang juga merupakan tokoh yang tidak asing lagi bagi pembangunan dakwah di negeri Melaka.

Ustaz Zulkifli Ismail - Pengasas Pondok Baitul Qurra', Melaka.

Kita cuba membandingkan sesebuah tempat dengan sebuah tempat yang lain, situasi sesetengah pelajar dengan pelajar yang lain dan banyak lagi perbandingan yang cuba kita wujudkan tanpa menyedari bahawa kita lebih banyak membuat perbandingan dari membuat sumbangan. Disinilah unsur pencerahan diperlukan!

Seorang petani yang membina sebuah pagar yang cantik, kemas dan utuh dari bahan binaan terbaik mungkin sahaja dapat memagar kawasan tanamannya dari binatang-binatang buas yang boleh merosakkan tanaman. Namun begitu, apa gunanya jika dia membina pagar yang utuh tapi tidak menanam anak benih dalam kawasan itu. Alangkah ruginya, meletakkan perkara yang kurang penting sebagai asas permasalahan dan mengenepikan keutamaan perkara yang lebih penting. Inilah muhasabah kita bersama. Persepsi awal ada baiknya jika kita letakkan pada marhalah yang betul, tapi jangan sampai kita hanya ingin menyamakan situasi orang lain dengan kita hanya kerana “alasan” kita inginkan yang terbaik baginya. Kita tidak menyelesaikan masalah sebaliknya mengundang lebih masalah.

Situasi kampus adalah sesuatu yang berbeza dengan keadaan dan situasi sebenar permasalahan di luar kampus. Masalahnya sekarang, sejauh mana kita memahami permasalahan kampus dan cuba memberi cahaya pencerahan Islam melalui tangan kita? Atau adakah kita sekadar sibuk menjenguk kedunia luar tanpa berpijak dibumi yang nyata?

Inilah yang di’highlight’kan oleh ustaz dalam merangsang pemuda untuk tidak hanya menjenguk “kampung” orang lain, tetapi lebih kepada mengenal pasti apa yang diperlukan “orang kampung sendiri”. Tempat kita mungkin berbeza, tetapi kita mempunyai matlamat yang sama. Mari kita bergerak atas titik-titik persamaan dan memencilkan titik-titik perbezaan antara satu sama lain. Kita mempunyai kebebasan untuk menafsir dan menterjemahkan ‘situasi dan keadaan’ kita sendiri, namun jangan sampai kita hanya meletakkan lebih banyak alasan dari melakukan kerja yang sepatutnya.

Friday, October 8, 2010

Bangunlah pemuda!

Pemuda adalah generasi yang sangat memberi kesan kepada perubahan dan kemajuan dalam sesebuah negara. Pemuda dilihat sebagai modal yang sangat berguna jika dilaburkan pada perkara-perkara yang memberi manfaat ramai.

Sebut sahaja tokoh mana yang tidak menghargai pemuda sebagai zaman yang mampu melakukan sesuatu yang luar biasa. Kata-kata Bung Karno mungkin sangat memberi kesan pada kita, tetapi jangan kita lupa tentang sesuatu yang lebih berpijak dibumi yang nyata. Dalam al-quran, Allah subhanahu wataala menggambarkan Ibrahim sebagai pemuda yang gagah dan berani, berfikir diluar jangkaan dan mempunyai kekuatan (tenaga) untuk melakukan sesuatu. Inilah pemuda!

Zaman muda jugalah menjadi antara persoalan penting di akhirat kelak, iaitu bagaimana kita menghabiskan masa muda kita. Sejauh manakah sumbangan kita untuk Islam? Ingatlah tatkala Yusuf diuji pada zaman mudanya dengan kecantikan seorang wanita. Yusuf boleh sahaja memilih untuk terus berada bersama dengan wanita tersebut, akan tetapi pilihan yang dibuat oleh Yusuf membuatkannya menjadi seorang yang sangat mulia disisi Allah. Memilih untuk menjadi seorang yang mentaati Allah bukanlah suatu pilihan bagi Yusuf akan tetapi ianya merupakan suatu kehendak dan tujuannya yang tertinggi.

Tatkala kita melihat generasi muda zaman sekarang ketandusan (baca: gersang) nilai islam dan disemat dengan budaya-budaya sonsang barat, maka tampil pelbagai pihak menghulurkan solusi agar masalah golongan muda dapat diselesaikan dengan baik. Mereka yang mencari selain dari Islam sebagai jalan penyelesaian dan jalan hidup mereka, sebenarnya mereka akan kehilangan sumber fitrah yang menjadi asas penciptaan manusia itu sendiri; Islam.

“aku dididik oleh Tuhanku, maka ianya merupakan sebaik-baik didikan”.

Rasulullah dilahirkan dalam keadaan manusia berada dalam jahiliyyah. Gersangnya adab dan tatasusila manusiawi dalam diri masyrakat arab. Namun, bangunnya pemuda tersebut, berani dan gagah menegakkan kebenaran atas dasar ingin melihat manusia lain berada pada kebahagian yang kekal abadi di akhirat kelak. Pemuda ini menjadi contoh terbaik ikutan dan pedoman untuk menjadi solusi kepada masalah keruntuhan akhlak mahupun moral remaja zaman sekarang. Jika kita sudah ketandusan idola sebenar yang hidup dan menyubur di dalam darah-darah pemuda kita, maka hari ini bersama-sama dengan pemerkasaan tarbiyyah, mari kita lahirkan seramai mungkin pemuda sebagai idola kepada remaja zaman sekarang. Bangun, duduk, berdiri mahupun berbaring, semuanya dengan kitaran Islam.


Wallahu’alam

Friday, April 23, 2010

Jiwa Kerja

“ana kagum dengan dia, buat apa pun bersemangat, tak tunggu orang suruh”

“apa saja dia buat, kita pun rasa lapang ja tengok kegembiraan dia”

“macam mana dia boleh betul-betul minat dengan apa yang dia buat ea?”

Passionate

Bila saya diberi peluang untuk bercakap di hadapan orang, antara sifat yang suka untuk saya kongsikan adalah perasaan menjiwai sesuatu yang kita lakukan. Inggerisnya di sebut passionate. Ia sukar diterjemahkan melalui kata-kata sebaliknya terpancar melalui perlakuan.

                                    
(Gambar Hiasan)

Lebih kurang setahun yang lepas saya telah menghadiri sebuah kursus yang dijalankan oleh seorang sahabat; kursus asas Adobe Photoshop. Apa yang menjadi kekaguman saya apabila tenaga pengajar sangat bersemangat dalam mencurahkan segala ilmu dan sanggup membantu ‘pelajar’ yang banyak ragam. Ada sahaja karenah. Bermula dari pengendalian sebelum berlangsungnya program sehingga tamatnya program dengan sedikit jamuan ringan dan ruangan Q&A.

Tetapi ada yang lebih saya kagumi dari semua ini. Kursus yang dijalankan hanya mengambil upah untuk  bahan fotokopi dan yang lainnya adalah Percuma!

Bayangkanlah harga bagi satu sesi kelas yang sama diluar, bagi seorang individu boleh mencecah ratusan hinggakan ribuan ringgit, tetapi hanya dicaj RM1 bagi program selama hampir 3 jam.

Matlamat hidup

Dalam perhatian saya yang masih belajar ini, apabila sesuatu kerja itu menjadi matlamat hidup seseorang maka dia akan berusaha sepenuh hati untuk perkara atau kerja tersebut. Seorang pelajar yang telah mendapat kesedaran dan inginkan kejayaan dalam SPM sanggup untuk tidur lewat malam demi memastikan kejayaan menjadi miliknya dan membanggakan kedua ibu bapanya. Begitu juga seorang pekerja yang dijanjikan kenaikan gaji dan pangkat akan bekerja sebaik mungkin membanting tulang agar dapat mengecapi apa yang diidamkannya. Mereka ini bekerja keras untuk matlamat hidup yang bakal mengubah siapakah mereka hari esok. Tidak kira yang pendek atau matlamat jangka panjang, seseorang yang jelas matlamatnya akan melakukan apa sahaja demi memastikan dia dapat mengecapi matlamatnya.

Matlamat  vs Jiwa

Beberapa persoalan sering terlontar dek membincangkan isu keruntuhan moral dikalangan masyarakat bersama rakan-rakan. Jika seseorang itu meletakkan matlamat materilistik dalam kehidupannya maka dia akan berakhir dan menjalani kehidupan seorang materialis. Seseorang itu pada bagaimana dia hidup dan pada bagaimana pengakhirannya. Itu jalan hidupnya. Tapi ada suatu aspek yang sebenarnya masih samar-samar untuk diterjemahkan oleh seorang materialis, iaitu kepuasan.Puasnya seseorang tidak bergantung kepada banyak mana duit yang diperolehi. Ada yang mengatakan bahawa puas ialah apabila anda melakukan sesuatu dengan sempurna dan dapat melihat orang lain gembira dengan hasil kerja anda.

Mungkin itu kepuasan yang diterjemahkan. Puas juga barangkali diterjemahkan apabila anda mendapat bayaran gaji yang tinggi dari hasil pekerjaan anda. Itu puas. Terlalu subjektif. Tapi apabila dikaitkan dengan jiwa dan perasaan, maka sama sekali kita tidak dapat berbohong bahawa kita tidak semestinya akan menjiwai sesuatu yang tidak menjadi matlamat hidup kita. Seorang doktor yang tidak menjiwai pekerjaan dalam bidang perubatan dan tidak mengetahui kemana dia dapat mencurahkan bakti bagi orang sekeliling dan dirinya akan mudah berputus asa dan tertekan apabila melalui saat getir dalam kerjayanya. Begitu jugalah yang lain. Kita mungkin boleh melihat kepada sejauh mana kekayaan harta bendanya tetapi kepuasan jiwa tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Apabila matlamat hidup sebahagian dari jiwa

Apabila dirungkai kembali kepada persoalan di awal artikel ini tadi, maka saya bertemu dengan jawapannya.

“saya masih belajar”

Dan,

matlamatnya hanya satu; untuk ISLAM.

Alangkah indahnya, seorang yang merasakan perjuangan itu tidak semestinya dalam ruang lingkup menjadi pengurus program sahaja tetapi setiap inci hidupnya adalah untuk kesinambungan ISLAM. Hidup sebagai seorang yang ditarbiyah dalam tarbiyah islamiah menjadikan kita akan sentiasa bertanya beberapa persoalan sebelum melakukan sesuatu

Kenapa aku dilahirkan kedunia?

Apa yang harus aku lakukan disini?

Kemana aku selepas ini?


Alfarabi90

Thursday, April 22, 2010

Pembukaanku

سورة الفاتحة
Surah Al-Fatihah

Surah Pembukaan
Surah (1) - Makkiyah - 7 ayat

( بِسْمِ الّلهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ( 1
1. Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

( اْلحَمْدُ لّلهِ رَبِّ الْعَاَلمِينَ ( 2
2. Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan yang memelihara
semesta 'alam.

( الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ ( 3
3. Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

( مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ ( 4
4. Tuhan yang menguasai hari pembalasan.

( إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ( 5
5. Hanya Engkau sahaja (Tuhan) yang kami sembah dan hanya kepada Mu
sahaja kami pohon pertolongan.

( اهدِنَا الصِّرَا َ ط اُلمستَقِيمَ ( 6
6. Tunjukkan kami jalan yang lurus.

( صِرَا َ ط الَّذِينَ َأنعَمتَ عََليهِمْ َ غيرِ اَلمغضُوبِ عََليهِمْ وَ َ لا الضَّالِّينَ ( 7
7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni'mat ke atas
mereka bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula
jalan orang-orang yang sesat.