Friday, October 29, 2010

berpagi-pagi pada yang optimis




Jangan mulakan pagimu dengan dosa
Pasti harimu kelak penuh duka
Jangan penuhkan harimu dengan noda
Nanti dihujung kau pasti terluka



Pastikan harimu penuh senyum mesra
Ianya kunci bahagia
Membuat semua gembira
Pasti ada berkat dan kata suka



Hari ini kita berdiri menggengam budi
Pada erti memberi
Agar semua memahami
Pada maksud sebuah penghidupan ‘abdi
Kita tidak mahu sekadar menongkat langit sehingga mati
Agar semuanya pada diri ini
Ikhlas, Hanya untuk Rabbi



Abdikan dirimu wahai hamba
Agar kau tahu pada erti pencipta
Menjadikan fitrah adalah sebuah bahagia
Kelak hidupmu antara dua sahaja
Kekal di syurga
atau; Sengsara di neraka





Thursday, October 28, 2010

Pada Erti Cahaya Matahari

gambar hiasan


Ku bertanya pada awan,
“Kemana matahari menghilang wahai kawan?”
Tidak muncul tiba seperti kebiasaan.


Awan tiba-tiba menyendiri dan menyepi,
“Bukankah kau merasa cahayanya pagi ini?”
“Kenapa masih kau perlukan Sang Matahari?”


kekadang ada yang cuba melindung cahayaNya


Ngomel awan lagi
“Kadang-kadang dia hanya membiarkan cahayanya bersinar pergi
Agar kau tahu dan mengerti
Pada makna memberi”


sehingga saat hilang cahayaNya, baru kita cuba menghargai Dia


Usai pagi melabuh tirai,
Aku termenung di kaki pantai
Menafsir dan mencari
Pada erti memberi
Sang Matahari.







Monday, October 25, 2010

Sandarkan hanya kepada Allah


Dalam kehidupan ini, kita pasti akan ditimpa seribu satu masalah, ujian dan cabaran. Susah atau senang cabaran tersebut, terpaksa juga kita tempuhi untuk terus menghabiskan sisa nyawa di dunia ini. Inilah namanya kehidupan, suka atau tidak iman itu kekadang menaik dan kekadang menjunam tiada berpaksi.

Bagi orang-orang yang beriman, mereka pasti akan meletakkan segalanya-galanya hanya kepada Allah dalam menghadapi ujian-ujian ini. Tidak dapat dinafikan lagi keperluan kita kepada Allah oleh kerana saban hari kita mengungkap bahawasanya hidup, mati, dan amal ibadat kita semua disandarkan kepadaNya. 

Persoalannya, sejauh mana kita beriman dengan apa yang dilafazkan?


Ujian untuk meningkatkan keimanan

Ujian itu adalah suatu ketetapan dan kepastian dari Allah bagi hamba-hambanya, tambahan pula bagi yang mengaku beriman. Kita selalu melupakan siapakah yang memberikan keamanan dan kebahagian dalam hidup kita. Bahkan, sering juga kita melupakan siapakah yang sebenarnya memberi kita makan setiap pagi, petang dan malam. Melupakan pada siapakah kita selalu mengadu bila berlaku kesulitan dalam hidup. Sesekali mungkin ada kita sandarkan pada Allah, tapi jarang-jarang.

Kita lebih meletakkan usaha dan kudrat diri sendiri sebagai pemangkin kepada kebahagian dan kesenangan yang dikecapi. Kita lebih banyak menyebut “aku” dari “Dia” yang menyelesaikan semua ini dan seringkali melupakan kuasa pencipta dalam menentukan segalanya. Alangkah hinanya kita, berasa sombong dan besar diri atas sesuatu yang bukan atas kekuasaan kita. Jangan kita lupa, boleh saja Allah menarik bila-bila masa nikmat dan kurniaan-Nya atas kita jika itu kehendak-Nya. Inilah ujian.


Exam

Peperiksaan adalah salah satu indikatornya. Ramai orang yang meletakkan peperiksaan adalah sukatan terakhir bagi keberjayaan seseorang itu ketika berada di universiti. Dialog-dialog seperti “berapa pointer ko dapat?” selalu sahaja menghias dada sembang harian kita. Sekadar itu sahaja kita mampu berfikir. Oleh yang demikian, ramai pelajar suka meletakkan segalanya hanya menumpukan kepada peperiksaan semata-mata. Sehinggakan aktiviti qiyamullail dan usrah yang diadakan turut dihentikan. Apakah semua ini wahai mahasiswa Islam? Adakah kita meletakkan kepercayaan (baca: keimanan) kita pada usaha kita sendiri? Kalau begitu, kita masih kurang, kurang nya nilai kebergantungan pada Allah. Jadi dimanakah Allah dalam kita menghadapi peperiksaan? Adakah Allah hanya ada sewaktu kita menjawab peperiksaan dan selepas selesai menyerahkan kertas jawapan maka kita seolah-olah mengatakan “Good Bye God! Thanks a lot”? Secara tidak sedar kita telah mensekularkan ilmu yang kita pelajari.

Aspek pergantungan diri pada Allah adalah suatu aspek yang amat besar untuk diceritakan disini. Seorang yang bergantung pada Allah dan memahami erti sebenar pergantungan pada Allah , akan sentiasa mengaitkan tindak tanduknya untuk mencari redha Allah. Segala aktiviti harian, bangun pagi, menghadiri kuliah, solat berjamaah, bacaan zikir, solat sunat, qiamullail, bergurau senda, melawat sahabat handai, menelefon ibu bapa, senyum dan memberi salam pada mak cik cleaner semuanya semata-mata kerana ingin menggapai keredhaan Allah.

Sheikhuna Al-Fadhil Sheikh Muhammad Nuruddin ada menyebut berkaitan erti Mahabbah, ujar beliau, tiadalah mahabbah kepada Allah dan Rasulullah itu tatkala bermain computer sedang azan berkumandang tapi tiada dia meninggalkan urusan dunianya. Apakah mahabbah kita pada Allah dan Rasul-Nya kita lansung mensekularkan urusan pembelajaran kita dengan pergantungan kepada Allah. Tatkala menjawab soalan peperiksaan, yang terbayang diminda kita adalah aku perlu lulus dengan cemerlang dan mendapat pointer terbaik untuk mendapat gaji lumayan agar hidupku lebih senang dan berada selepas ini. Apakah semua ini??

Exam hanyalah sebuah ujian dari ujian-ujian dalam hidup ini. Mungkin bagi sesetengah orang ianya berkaitan lulus dan gagal. Tapi bagi sebahagian yang lain, ianya berkaitan sumbangan yang lebih untuk Islam jika yang diperolehi dari peperiksaan itu adalah a flying color. Ingatlah semua, kita acapkali mengulang dan menghafal hadith berkaitan niat, maka tatkala minggu peperiksaan bakal menjengah ini, mari kita tanyakan pada diri kita sekali lagi, “Kenapa aku belajar sehingga disini aku berada?”

Pesanan ini adalah untuk diri ini yang amat lemah dalam menghadapi ujian dari Allah. Kadang-kadang dalam menghadiri kem-kem senang sahaja kita mengaitkan erti tarbiyah, tadhiyah, pergantungan kepada Allah dan seribu satu lagi istilah-istilah Arab dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam kem tersebut. Tapi ternyata, kita amat lemah dan sentiasa mudah terpesong oleh godaan syaitan pabila kita bersama masyarakat kita mudah melupakan semua itu dan paling utama, senang mensekularkan peranan pergantungan diri pada Allah dalam kehidupan seharian kita.

Kembalilah diri. Kembalilah kepada fitrahmu untuk mengenal siapa sebenar engkau sebagai ciptaan Allah. Tamatkanlah riwayat hidup kami ini dalam jalan Iman dan Islam. Aku amat lemah dan kadang-kadang terjatuh hingga tidak sedar bahawa aku berada dalam zon gelap yang amat hina. Ampunkan diriku Ya Rabb.





P/s: Pesanan untuk diri penulis yang amat hina ini.

Tuesday, October 19, 2010

Waqi'iyyah



Ijtima Tarbawi sudah melabuhkan tirainya. Peserta pulang membawa seribu satu ilmu yang bermakna untuk dikongsikan bersama yang lain. Bukan sekadar itu, ianya lebih kepada bagaimana orang yang mendengar itu dapat mengaplikasi dan menyesuaikan apa yang diperolehi mengikut tempat dan keadaan masing-masing.

Kita lain

“Pelajar-pelajar Mechatronics lain dengan pelajar ICT. ICT waktu lebih lapang, pelajar Mechatronics ni sibuk dan perlukan lebih komitmen”

"Study Hard or Study Smart?" ungkapan yang masih bingung jika difikirkan

Pre-judgment

Kita selalu meletakkan andaian awal bagi sesuatu perkara mengikut apa yang selalu kita hadapi. Mungkin ianya telah menjadi sebahagian dari rutin hidup kita. Pertama kali memandang Susan Boyle siapa sangka dia boleh menjuarai American Idol? Manusia mudah membina prasangka atas sesuatu yang tertanam dalam diri mereka. Inilah juga cabaran yang menghimpit golongan-golongan yang ingin memperjuangkan Islam tetapi tersepit antara pra-sangka yang dibina dan pemahaman situasi dan keadaan sebenar.

Berada dalam gerakan Islam bukanlah sesuatu yang mudah. Ujian, dugaan dan cabaran boleh saja mendatang bila-bila masa. Sirah telah menceritakan bagaimana nabi-nabi serta rasul-rasul terdahulu memahami keadaan dan situasi umat mereka dahulu sebelum berdakwah. Inilah antara persediaan sebelum berjuang. Kita tidak melahirkan ahli yang berjuang atas dasar semangat membabi buta semata-semata , sebaliknya menginginkan mereka-mereka yang berjuang atas dasar kefahaman, dan ini juga menuntut seseorang itu bersedia sebelum berjuang.
      
      Tiger wood yang menjuarai dan membina karyanya melalui sukan golf mempunyai peluang untuk kecundang bagi setiap kejuaraan yang disertainya. Namun, apa yang menbina keyakinan beliau untuk terus menang bagi setiap pertandingan adalah rahsia pada memahami keadaan padang golf dan pengalaman serta latihan yang telah dilalui oleh beliau. Bukan main tangkap muat sahaja! Inilah juga yang menjadi praktikal kepada seorang yang ingin menggalas bebanan yang telah pernah diperjuangkan oleh para rasul terdahulu.

Fiqhul Marhalah

Pemahaman tentang tabiat dakwah yang memerlukan kepada kajian bagi setiap tempat dan situasi menuntut kita untuk membuat beberapa survey sebelum terjun ke dalam masyarakat. Sebagai contohnya, apakah tabiat dan pola pemikiran masyarakat kampus? Apakah biah atau suasana yang membina persekitaran tersebut? Sejauh mana masyarakat tersebut peka dengan isu-isu dalam lingkungan mereka? Inilah yang diungkit dan dikupas oleh Al-Fadhil Ustaz Zulkifli Ismail yang juga merupakan tokoh yang tidak asing lagi bagi pembangunan dakwah di negeri Melaka.

Ustaz Zulkifli Ismail - Pengasas Pondok Baitul Qurra', Melaka.

Kita cuba membandingkan sesebuah tempat dengan sebuah tempat yang lain, situasi sesetengah pelajar dengan pelajar yang lain dan banyak lagi perbandingan yang cuba kita wujudkan tanpa menyedari bahawa kita lebih banyak membuat perbandingan dari membuat sumbangan. Disinilah unsur pencerahan diperlukan!

Seorang petani yang membina sebuah pagar yang cantik, kemas dan utuh dari bahan binaan terbaik mungkin sahaja dapat memagar kawasan tanamannya dari binatang-binatang buas yang boleh merosakkan tanaman. Namun begitu, apa gunanya jika dia membina pagar yang utuh tapi tidak menanam anak benih dalam kawasan itu. Alangkah ruginya, meletakkan perkara yang kurang penting sebagai asas permasalahan dan mengenepikan keutamaan perkara yang lebih penting. Inilah muhasabah kita bersama. Persepsi awal ada baiknya jika kita letakkan pada marhalah yang betul, tapi jangan sampai kita hanya ingin menyamakan situasi orang lain dengan kita hanya kerana “alasan” kita inginkan yang terbaik baginya. Kita tidak menyelesaikan masalah sebaliknya mengundang lebih masalah.

Situasi kampus adalah sesuatu yang berbeza dengan keadaan dan situasi sebenar permasalahan di luar kampus. Masalahnya sekarang, sejauh mana kita memahami permasalahan kampus dan cuba memberi cahaya pencerahan Islam melalui tangan kita? Atau adakah kita sekadar sibuk menjenguk kedunia luar tanpa berpijak dibumi yang nyata?

Inilah yang di’highlight’kan oleh ustaz dalam merangsang pemuda untuk tidak hanya menjenguk “kampung” orang lain, tetapi lebih kepada mengenal pasti apa yang diperlukan “orang kampung sendiri”. Tempat kita mungkin berbeza, tetapi kita mempunyai matlamat yang sama. Mari kita bergerak atas titik-titik persamaan dan memencilkan titik-titik perbezaan antara satu sama lain. Kita mempunyai kebebasan untuk menafsir dan menterjemahkan ‘situasi dan keadaan’ kita sendiri, namun jangan sampai kita hanya meletakkan lebih banyak alasan dari melakukan kerja yang sepatutnya.

Friday, October 8, 2010

Bangunlah pemuda!

Pemuda adalah generasi yang sangat memberi kesan kepada perubahan dan kemajuan dalam sesebuah negara. Pemuda dilihat sebagai modal yang sangat berguna jika dilaburkan pada perkara-perkara yang memberi manfaat ramai.

Sebut sahaja tokoh mana yang tidak menghargai pemuda sebagai zaman yang mampu melakukan sesuatu yang luar biasa. Kata-kata Bung Karno mungkin sangat memberi kesan pada kita, tetapi jangan kita lupa tentang sesuatu yang lebih berpijak dibumi yang nyata. Dalam al-quran, Allah subhanahu wataala menggambarkan Ibrahim sebagai pemuda yang gagah dan berani, berfikir diluar jangkaan dan mempunyai kekuatan (tenaga) untuk melakukan sesuatu. Inilah pemuda!

Zaman muda jugalah menjadi antara persoalan penting di akhirat kelak, iaitu bagaimana kita menghabiskan masa muda kita. Sejauh manakah sumbangan kita untuk Islam? Ingatlah tatkala Yusuf diuji pada zaman mudanya dengan kecantikan seorang wanita. Yusuf boleh sahaja memilih untuk terus berada bersama dengan wanita tersebut, akan tetapi pilihan yang dibuat oleh Yusuf membuatkannya menjadi seorang yang sangat mulia disisi Allah. Memilih untuk menjadi seorang yang mentaati Allah bukanlah suatu pilihan bagi Yusuf akan tetapi ianya merupakan suatu kehendak dan tujuannya yang tertinggi.

Tatkala kita melihat generasi muda zaman sekarang ketandusan (baca: gersang) nilai islam dan disemat dengan budaya-budaya sonsang barat, maka tampil pelbagai pihak menghulurkan solusi agar masalah golongan muda dapat diselesaikan dengan baik. Mereka yang mencari selain dari Islam sebagai jalan penyelesaian dan jalan hidup mereka, sebenarnya mereka akan kehilangan sumber fitrah yang menjadi asas penciptaan manusia itu sendiri; Islam.

“aku dididik oleh Tuhanku, maka ianya merupakan sebaik-baik didikan”.

Rasulullah dilahirkan dalam keadaan manusia berada dalam jahiliyyah. Gersangnya adab dan tatasusila manusiawi dalam diri masyrakat arab. Namun, bangunnya pemuda tersebut, berani dan gagah menegakkan kebenaran atas dasar ingin melihat manusia lain berada pada kebahagian yang kekal abadi di akhirat kelak. Pemuda ini menjadi contoh terbaik ikutan dan pedoman untuk menjadi solusi kepada masalah keruntuhan akhlak mahupun moral remaja zaman sekarang. Jika kita sudah ketandusan idola sebenar yang hidup dan menyubur di dalam darah-darah pemuda kita, maka hari ini bersama-sama dengan pemerkasaan tarbiyyah, mari kita lahirkan seramai mungkin pemuda sebagai idola kepada remaja zaman sekarang. Bangun, duduk, berdiri mahupun berbaring, semuanya dengan kitaran Islam.


Wallahu’alam