Thursday, November 18, 2010

Islam dan Masyarakat

Bismillahirrahmnirrahim.

Eid Mubarak, Selamat Hari Raya Aidil Adha

Alhamdulillah bersyukur kehadrat ilahi kerana pada tahun ini kita masih dipanjangkan umur dalam nikmat iman dan islam, dan dapat meneruskan lagi sambutan eidul adha bagi tahun 1431H kali ini.

Saban tahun kita menyambut pelbagai perayaan dan sambutan-sambutan keagamaan dalam Islam. Tidak kiralah namanya Hari Raya, Maulidur Rasul atau hari-hari kebesaran yang lain, semuanya mempunyai tujuan yang satu iaitu untuk mencari redha Ilahi.

Islam dan Komuniti

Sedar atau tidak, ibadah dalam Islam sebenarnya berkait rapat dengan komuniti atau masyarakat tidak kira setempat ataupun secara global. Ibadah dalam rukun Islam sahaja, 4/5 daripadanya jelas menunjukkan hubungkait antara sesuatu amalan yang dilakukan oleh seseorang Muslim itu dengan masyarakat disekelilingnya. Kelebihan solat berjemaah sudah jelas disebut dalam hadith yang muktabar mengenai kelebihannya sebanyak 27 kali ganda.

Ibadah puasa dalam bulan ramadhan pula mempunyai hikmah tersendiri iaitu agar ummat Islam dapat sama-sama merasai kekurangan orang-orang yang susah dalam hidup saban hari. Begitu juga dengan ibadah zakat yang ditunaikan agar kita merasai bagaimana keperitan hidup golongan yang susah, serta mempunyai keringanan dalam menghulurkan kemampuan kita untuk dikongsi bersama. Manakala, hikmah ibadah haji pula adalah sangat besar kerana ianya perlu ditunaikan di Mekah bersama-sama dan bersesak-sesak dengan ummat Islam dari pelbagai bangsa dan negara yang mempunyai pelbagai budaya dan latarbelakang tersendiri.

Bila menyebut berkenaan eidul adha, ianya telah mengajar kita kepada erti hamba dan masyarakat. Mengorbankan binatang ternak bagi yang berada di tanah air sendiri dan menunaikan haji dan berkorban (bagi yang berkemampuan) bagi mereka yang menunaikan haji di mekah membawa kita mengenal erti sebenar Islam sebagai agama fitrah. Fitrah bermaksud Islam ini dijadikan sebagai sesuatu yang suci dan murni dari Allah dan sesuai dengan makhlukNya. Komuniti yang dibina dalam sebuah Negara Islam tidak mesti semuanya adalah Muslim, sebaliknya Islam memayungi bukan Islam selagi mana mereka berada dalam keadaan tidak memerangi kerajaan Islam tersebut. Inilah Islam, datangnya dari Pencipta yang Maha Mengetahui dan Maha Memahami setiap inci kehendak dan kebaikan kepada hamba-hambaNya.

Justeru itu, adalah sesuatu yang janggal bagi seseorang yang menggelar dirinya Muslim, untuk terus tinggal sendirian, melupakan komuniti dan masyarakat yang berada disekelilingnya. Namun begitu, fenomena ini sebenarnya jelas menonjol dalam masyarakat kampus. Mahasiswa menumpu kepada pelajaran dan seakan-akan tenggelam dalam dunia pembelajaran mereka. Takutnya mereka ini akan terlupa pada hakikat sebenar mereka menuntut ilmu, dari kepada mencari keredhaan ilahi dan berkongsi pengetahuan dengan masyarakat sekeliling kepada bermatlamatkan kepentingan diri sendiri. Inikah realitinya?

Eidul Adha tidak lagi perlu dilihat sebagai hanya pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alaihimassalam semata-mata, tapi lebih dari sekadar itu ianya membawa kita mengenal dan bertindak pada erti memberi diri kita kemampuan untuk mendefinisikan korban dalam segala aspek demi mencari redha ilahi. Tambahan pula dalam membentuk masyarakat Islam yang baik taraf sosio-ekonomi dan budayanya.

Salam Eidul Adha


No comments: