Thursday, September 17, 2009

PERUTUSAN ‘EIDUL FITRI

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh.

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat ilahi kerana limpah dan kurniaNya kita masih dipanjangkan umur dan masih dapat merasai nikmat Iman dan Islam. Bersyukur kita jua kepada Allah kerana disaat ini kita masih dihidupkan dalam bulan yang penuh barokah dan pengampunan dari Allah kepada hamba-hambanya yang merindui untuk bertemu dengannya. Solawat dan salam atas junjungan mulia Rasulullah sollahu’alaihiwasallam kerana penat jerih Baginda berjuang suatu ketika dahulu maka kita pada hari ini dapat merasai barkah dakwah Baginda di bumi Malaysia dan bumi CFS,IIUM ini.

“Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).” (Al-Fath:2)

Saya bagi pihak seluruh warga Mahallah Representative Committee dan Hisbah Representative Comittee Mahallah Umar Al-Khattab I & II ingin mengajak kita semua merenung kembali bagaimana sebenarnya Rasulullah mengajar kita menghadapi bulan Ramadhan dan menyambut ‘Eid fitri dalam keadaan yang beriman. Sebagai pelajar sebuah tempat pengajian Islam yang tersohor di bumi Malaysia ini, kita sepatutnya bersyukur atas kurniaan Allah kerana kita masih diberikan nikmat untuk berada dalam keamanan dan kesejahteraan. Nikmat ini perlu disambut dengan penuh rasa rendah diri agar Madrasah Ramadhan yang dilalui selama sebulan ini benar-benar memberi latihan terbaik untuk kita mendepani cabaran yang lebih hebat yang bakal mendatang dalam 11 bulan yang berikutnya.

Dalam pada itu, ‘Eidul fitri pula mestilah dapat membawa kita kembali kehadrat Ilahi dalam keadaan fitrah dan suci, agar ianya disambut bukan sebagai tempat melampiaskan nafsu yang dipendam selama sebulan, sebaliknya sebagai medan muhasabah dan mensyukuri kurniaan yang diberikan oleh Allah kepada kita selama ini dengan penuh rasa kehambaan.

Di kesempatan ini juga, saya bagi pihak seluruh warga Mahallah Representative Committee (MRC) dan Hisbah Representative Committee Mahallah Umar Al-Khattab I & II, ingin menyusun sepuluh jari memohon jutaan kemaafan andai kata selama kami dilantik menjadi pemegang jawatan ini kami telah lalai dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab terhadap seluruh warga Mahallah ini, yang bakal disoal oleh Allah suatu ketika nanti. Marilah sama-sama kita membangun dan menyemarakkan sinar Islam dalam hidup kita dengan lebih tegar dalam mempraktikkan cara hidup Islam yang sebenar dalam kehidupan harian kita agar kita dapat membangun bersama kesejahteraan Islam.

Akhir kalam, Selamat Menyambut ‘Eidul Fitri, Kullu ‘Aam Waantum Bikhair. Semoga kita dipanjangkan umur untuk terus merasai dan bersua muka lagi dalam Bulan Ramadhan pada tahun hadapan. Wabillhi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakaatuh.


AHMAD FATHI BIN MOHD SALLEH
President,
Mahallah Representative Committee (MRC),
Mahallah Umar Al-Khattab I & II,
CFS IIUM, PJ.

No comments: