Monday, October 25, 2010

Sandarkan hanya kepada Allah


Dalam kehidupan ini, kita pasti akan ditimpa seribu satu masalah, ujian dan cabaran. Susah atau senang cabaran tersebut, terpaksa juga kita tempuhi untuk terus menghabiskan sisa nyawa di dunia ini. Inilah namanya kehidupan, suka atau tidak iman itu kekadang menaik dan kekadang menjunam tiada berpaksi.

Bagi orang-orang yang beriman, mereka pasti akan meletakkan segalanya-galanya hanya kepada Allah dalam menghadapi ujian-ujian ini. Tidak dapat dinafikan lagi keperluan kita kepada Allah oleh kerana saban hari kita mengungkap bahawasanya hidup, mati, dan amal ibadat kita semua disandarkan kepadaNya. 

Persoalannya, sejauh mana kita beriman dengan apa yang dilafazkan?


Ujian untuk meningkatkan keimanan

Ujian itu adalah suatu ketetapan dan kepastian dari Allah bagi hamba-hambanya, tambahan pula bagi yang mengaku beriman. Kita selalu melupakan siapakah yang memberikan keamanan dan kebahagian dalam hidup kita. Bahkan, sering juga kita melupakan siapakah yang sebenarnya memberi kita makan setiap pagi, petang dan malam. Melupakan pada siapakah kita selalu mengadu bila berlaku kesulitan dalam hidup. Sesekali mungkin ada kita sandarkan pada Allah, tapi jarang-jarang.

Kita lebih meletakkan usaha dan kudrat diri sendiri sebagai pemangkin kepada kebahagian dan kesenangan yang dikecapi. Kita lebih banyak menyebut “aku” dari “Dia” yang menyelesaikan semua ini dan seringkali melupakan kuasa pencipta dalam menentukan segalanya. Alangkah hinanya kita, berasa sombong dan besar diri atas sesuatu yang bukan atas kekuasaan kita. Jangan kita lupa, boleh saja Allah menarik bila-bila masa nikmat dan kurniaan-Nya atas kita jika itu kehendak-Nya. Inilah ujian.


Exam

Peperiksaan adalah salah satu indikatornya. Ramai orang yang meletakkan peperiksaan adalah sukatan terakhir bagi keberjayaan seseorang itu ketika berada di universiti. Dialog-dialog seperti “berapa pointer ko dapat?” selalu sahaja menghias dada sembang harian kita. Sekadar itu sahaja kita mampu berfikir. Oleh yang demikian, ramai pelajar suka meletakkan segalanya hanya menumpukan kepada peperiksaan semata-mata. Sehinggakan aktiviti qiyamullail dan usrah yang diadakan turut dihentikan. Apakah semua ini wahai mahasiswa Islam? Adakah kita meletakkan kepercayaan (baca: keimanan) kita pada usaha kita sendiri? Kalau begitu, kita masih kurang, kurang nya nilai kebergantungan pada Allah. Jadi dimanakah Allah dalam kita menghadapi peperiksaan? Adakah Allah hanya ada sewaktu kita menjawab peperiksaan dan selepas selesai menyerahkan kertas jawapan maka kita seolah-olah mengatakan “Good Bye God! Thanks a lot”? Secara tidak sedar kita telah mensekularkan ilmu yang kita pelajari.

Aspek pergantungan diri pada Allah adalah suatu aspek yang amat besar untuk diceritakan disini. Seorang yang bergantung pada Allah dan memahami erti sebenar pergantungan pada Allah , akan sentiasa mengaitkan tindak tanduknya untuk mencari redha Allah. Segala aktiviti harian, bangun pagi, menghadiri kuliah, solat berjamaah, bacaan zikir, solat sunat, qiamullail, bergurau senda, melawat sahabat handai, menelefon ibu bapa, senyum dan memberi salam pada mak cik cleaner semuanya semata-mata kerana ingin menggapai keredhaan Allah.

Sheikhuna Al-Fadhil Sheikh Muhammad Nuruddin ada menyebut berkaitan erti Mahabbah, ujar beliau, tiadalah mahabbah kepada Allah dan Rasulullah itu tatkala bermain computer sedang azan berkumandang tapi tiada dia meninggalkan urusan dunianya. Apakah mahabbah kita pada Allah dan Rasul-Nya kita lansung mensekularkan urusan pembelajaran kita dengan pergantungan kepada Allah. Tatkala menjawab soalan peperiksaan, yang terbayang diminda kita adalah aku perlu lulus dengan cemerlang dan mendapat pointer terbaik untuk mendapat gaji lumayan agar hidupku lebih senang dan berada selepas ini. Apakah semua ini??

Exam hanyalah sebuah ujian dari ujian-ujian dalam hidup ini. Mungkin bagi sesetengah orang ianya berkaitan lulus dan gagal. Tapi bagi sebahagian yang lain, ianya berkaitan sumbangan yang lebih untuk Islam jika yang diperolehi dari peperiksaan itu adalah a flying color. Ingatlah semua, kita acapkali mengulang dan menghafal hadith berkaitan niat, maka tatkala minggu peperiksaan bakal menjengah ini, mari kita tanyakan pada diri kita sekali lagi, “Kenapa aku belajar sehingga disini aku berada?”

Pesanan ini adalah untuk diri ini yang amat lemah dalam menghadapi ujian dari Allah. Kadang-kadang dalam menghadiri kem-kem senang sahaja kita mengaitkan erti tarbiyah, tadhiyah, pergantungan kepada Allah dan seribu satu lagi istilah-istilah Arab dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam kem tersebut. Tapi ternyata, kita amat lemah dan sentiasa mudah terpesong oleh godaan syaitan pabila kita bersama masyarakat kita mudah melupakan semua itu dan paling utama, senang mensekularkan peranan pergantungan diri pada Allah dalam kehidupan seharian kita.

Kembalilah diri. Kembalilah kepada fitrahmu untuk mengenal siapa sebenar engkau sebagai ciptaan Allah. Tamatkanlah riwayat hidup kami ini dalam jalan Iman dan Islam. Aku amat lemah dan kadang-kadang terjatuh hingga tidak sedar bahawa aku berada dalam zon gelap yang amat hina. Ampunkan diriku Ya Rabb.





P/s: Pesanan untuk diri penulis yang amat hina ini.

No comments: