Tuesday, October 19, 2010

Waqi'iyyah



Ijtima Tarbawi sudah melabuhkan tirainya. Peserta pulang membawa seribu satu ilmu yang bermakna untuk dikongsikan bersama yang lain. Bukan sekadar itu, ianya lebih kepada bagaimana orang yang mendengar itu dapat mengaplikasi dan menyesuaikan apa yang diperolehi mengikut tempat dan keadaan masing-masing.

Kita lain

“Pelajar-pelajar Mechatronics lain dengan pelajar ICT. ICT waktu lebih lapang, pelajar Mechatronics ni sibuk dan perlukan lebih komitmen”

"Study Hard or Study Smart?" ungkapan yang masih bingung jika difikirkan

Pre-judgment

Kita selalu meletakkan andaian awal bagi sesuatu perkara mengikut apa yang selalu kita hadapi. Mungkin ianya telah menjadi sebahagian dari rutin hidup kita. Pertama kali memandang Susan Boyle siapa sangka dia boleh menjuarai American Idol? Manusia mudah membina prasangka atas sesuatu yang tertanam dalam diri mereka. Inilah juga cabaran yang menghimpit golongan-golongan yang ingin memperjuangkan Islam tetapi tersepit antara pra-sangka yang dibina dan pemahaman situasi dan keadaan sebenar.

Berada dalam gerakan Islam bukanlah sesuatu yang mudah. Ujian, dugaan dan cabaran boleh saja mendatang bila-bila masa. Sirah telah menceritakan bagaimana nabi-nabi serta rasul-rasul terdahulu memahami keadaan dan situasi umat mereka dahulu sebelum berdakwah. Inilah antara persediaan sebelum berjuang. Kita tidak melahirkan ahli yang berjuang atas dasar semangat membabi buta semata-semata , sebaliknya menginginkan mereka-mereka yang berjuang atas dasar kefahaman, dan ini juga menuntut seseorang itu bersedia sebelum berjuang.
      
      Tiger wood yang menjuarai dan membina karyanya melalui sukan golf mempunyai peluang untuk kecundang bagi setiap kejuaraan yang disertainya. Namun, apa yang menbina keyakinan beliau untuk terus menang bagi setiap pertandingan adalah rahsia pada memahami keadaan padang golf dan pengalaman serta latihan yang telah dilalui oleh beliau. Bukan main tangkap muat sahaja! Inilah juga yang menjadi praktikal kepada seorang yang ingin menggalas bebanan yang telah pernah diperjuangkan oleh para rasul terdahulu.

Fiqhul Marhalah

Pemahaman tentang tabiat dakwah yang memerlukan kepada kajian bagi setiap tempat dan situasi menuntut kita untuk membuat beberapa survey sebelum terjun ke dalam masyarakat. Sebagai contohnya, apakah tabiat dan pola pemikiran masyarakat kampus? Apakah biah atau suasana yang membina persekitaran tersebut? Sejauh mana masyarakat tersebut peka dengan isu-isu dalam lingkungan mereka? Inilah yang diungkit dan dikupas oleh Al-Fadhil Ustaz Zulkifli Ismail yang juga merupakan tokoh yang tidak asing lagi bagi pembangunan dakwah di negeri Melaka.

Ustaz Zulkifli Ismail - Pengasas Pondok Baitul Qurra', Melaka.

Kita cuba membandingkan sesebuah tempat dengan sebuah tempat yang lain, situasi sesetengah pelajar dengan pelajar yang lain dan banyak lagi perbandingan yang cuba kita wujudkan tanpa menyedari bahawa kita lebih banyak membuat perbandingan dari membuat sumbangan. Disinilah unsur pencerahan diperlukan!

Seorang petani yang membina sebuah pagar yang cantik, kemas dan utuh dari bahan binaan terbaik mungkin sahaja dapat memagar kawasan tanamannya dari binatang-binatang buas yang boleh merosakkan tanaman. Namun begitu, apa gunanya jika dia membina pagar yang utuh tapi tidak menanam anak benih dalam kawasan itu. Alangkah ruginya, meletakkan perkara yang kurang penting sebagai asas permasalahan dan mengenepikan keutamaan perkara yang lebih penting. Inilah muhasabah kita bersama. Persepsi awal ada baiknya jika kita letakkan pada marhalah yang betul, tapi jangan sampai kita hanya ingin menyamakan situasi orang lain dengan kita hanya kerana “alasan” kita inginkan yang terbaik baginya. Kita tidak menyelesaikan masalah sebaliknya mengundang lebih masalah.

Situasi kampus adalah sesuatu yang berbeza dengan keadaan dan situasi sebenar permasalahan di luar kampus. Masalahnya sekarang, sejauh mana kita memahami permasalahan kampus dan cuba memberi cahaya pencerahan Islam melalui tangan kita? Atau adakah kita sekadar sibuk menjenguk kedunia luar tanpa berpijak dibumi yang nyata?

Inilah yang di’highlight’kan oleh ustaz dalam merangsang pemuda untuk tidak hanya menjenguk “kampung” orang lain, tetapi lebih kepada mengenal pasti apa yang diperlukan “orang kampung sendiri”. Tempat kita mungkin berbeza, tetapi kita mempunyai matlamat yang sama. Mari kita bergerak atas titik-titik persamaan dan memencilkan titik-titik perbezaan antara satu sama lain. Kita mempunyai kebebasan untuk menafsir dan menterjemahkan ‘situasi dan keadaan’ kita sendiri, namun jangan sampai kita hanya meletakkan lebih banyak alasan dari melakukan kerja yang sepatutnya.

No comments: