Friday, October 17, 2008

filem2 negaraKU!!






Oleh PELAJAR MALAYSIA PRIHATIN
Sana'a, Yaman
Beberapa tahun kebelakangan ini industri perfileman Malaysia mengalami beberapa perkembangan yang baik dari aspek teknik pembikinannya seperti sinematografi, sistem bunyi, nilai estetika yang memikat dan dapat memanfaatkan teori mise 'en scene walau pun masih ada banyak lagi yang boleh diperbaiki.

Sebahagian tema yang cuba diketengahkan oleh para pembikin filem kita nampaknya sudah dapat keluar daripada sekadar berkisar pada naratif klise 'cinta murahan' (walaupun hanya beberapa buah filem).

Saya tidak berhasrat untuk mengulas berkenaan itu kerana tentunya para pengkritik filem di dada-dada akhbar di tanahair kita dapat memainkan peranan tersebut dengan lebih baik demi meningkatkan kualiti filem tempatan.

Mentaliti pembikin filem

Cuma yang menyedihkan ialah mentaliti para pengarah, penulis skrip/lakonlayar, pelakon dan khalayak penontonnya sahaja yang dirasakan masih 'lemau'. Apa yang saya maksudkan di sini ialah kejahilan mereka apabila mana-mana produk filem atau drama yang diadunkan dengan 'resipi' agama ternyata mendedahkan sikap 'jahil lagi menjahilkan'.

Tentunya hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat 'Islam Hadhari' yang berteraskan ilmu pengetahuan terbantut kerana fenomena 'pengarah filem Melayu jahil'! Tuduhan ini bukannya tidak berasas kerana terbukti filem atau drama berperanan sebagai medium yang mampu mempengaruhi peta pemikiran masyarakat. Bagi saya tentunya pembangunan masyarakat 'Islam Hadhari' yang berteraskan ilmu pengetahuan tidak sekali-kali mengetepikan ilmu agama khususnya agama Islam.

Bagaimana agaknya mentaliti masyarakat sekiranya disumbat dengan anasir 'kejahilan dan kedangkalan' filem tempatan apabila ianya bersangkut dengan perkara hukum-hakam dan akhlak Islam.

Saya cuba mengajak para pembaca meneliti beberapa contoh berikut:

Filem: Berlari ke Langit (2004)
Terbitan: Tayangan Unggul Sdn. Bhd
Arahan dan lakonlayar: Bade Hj. Azmi

Watak Indra (Rosyam Nor) sedang berdoa, kemudian Indra bersalam dengan adik lelakinya, Iman (adik Danial Hazly). Mereka kelihatan baru selesai mengerjakan solat Subuh berjemaah. Anehnya sebagai makmum, Iman berada di sebelah kiri abangnya.

Di sini tampak jelas dua kemungkinan, sama ada telah berlaku kesilapan semasa penggambaran atau pun pengarah filem ini seorang yang jahil berkenaan ilmu fekah. Bagaimana seorang makmum lelaki boleh berada di sebelah kiri imam? Tidakkah ada seorang pun di set penggambaran yang mampu menegur kelemahan yang terlalu ketara ini?

Selesai itu Indra pun berjalan mendekati jendela lalu memandang ke luar, kedengaran suara Indra berkata kepada dirinya, "Lambat lagi nak masuk Subuh ..." sedangkan shot ketika itu dengan jelas menunjukkan telah terbit fajar sadiq, tanda telah masuk waktu Subuh.

Persoalannya ialah adakah Indra dan adiknya tadi sedang mengerjakan solat tahajjud atau yang dimaksudkan oleh Indra dengan 'subuh' ialah 'pagi'?

Bolehkah makmum lelaki berada di sebelah kiri imam tanpa sebab? Masalah ini terjawab melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. yang bermaksud:

"Aku telah bersolat bersama-sama Nabi S.A.W di suatu malam, maka aku berdiri di sebelah kirinya (Rasulullah S.A.W) lantas Rasulullah S.A.W memegang kepalaku dari arah belakang lalu meletakkan aku ke sebelah kanan baginda". (H.riw. al-Bukhari dan Muslim)


Hadis ini menunjukkan bahawa kedudukan yang betul bagi seorang makmum adalah di sebelah kanan (apabila solat berjemaah itu didirikan secara berdua). Perbuatan Nabi S.A.W memindahkan Ibnu Abbas r.a. menunjukkan kedudukan yang betul di dalam solat sama ada solat fardhu atau pun sunat.

Putar-belit hukum agama

Satu lagi ketelanjuran yang tidak dapat dimaafkan ialah kejahilan penulis lakonlayar, pengarah, para pelakon dan mereka yang terlibat dalam produksi filem ini dalam memutar-belitkan hukum hakam agama.

Dalam satu babak yang lain kelihatan sepasang kekasih iaitu Indra dan Cikgu Yasmin (Fasha Sandha) sedang duduk berbual-bual di lereng bukit yang mengadap laut luas.

Sedang mereka berbual-bual dan bergelak ketawa tiba-tiba muncul beberapa orang lelaki berjubah dan berserban yang diketuai oleh Bukhari (suami kepada Zulhijjah - bekas kekasih Indra) sedang menghampiri mereka. Sebaik menjawab salam Cikgu Yasmin, Bukhari (Hasnul Rahmat) dengan tegas telah berkata:

Bukhari: Inikah yang dinamakan cinta? Seorang gadis yang bergelar guru, dianggap mulia dari segi agama berdua-duaan bersama seorang lelaki yang bukan muhrimnya di tempat yang tiada manusia lain.

Yasmin: Mungkin tempat indah ini diciptakan Tuhan untuk insan seperti kami, yang tahu mengguna ke arah kebaikan.

Bukhari: Apa yang anti (awak) boleh dapat di sini melainkan membuat keburukan?

Indra: (Bangun lalu berdiri menghadap Bukhari) Apa benda yang kami buat?

Bukhari: Apa lagi kalau bukan dua orang yang ...

Yasmin: Cuma orang yang berjiwa halus tahu menghargai ciptaan Tuhannya. Tengok kecantikan sekeliling kamu ni. Apa yang kamu nampak?

Bukhari: Anti (awak) tak perlu mengajar ana (saya). Haram tetap haram!

Yasmin: Siapa yang berkata begitu? Bukankah Tuhan saja yang berhak menjatuhkan hukum itu?

Bukhari: Anti (awak) tahu apa yang anti (awak) cakap? Tahu?

Yasmin: Ayah saya seorang guru agama di Universiti Islam di Madinah dan saya mempunyai ijazah dari UIA. Saya faham sangat hal-hal hukum agama Islam ni. Tapi kalau kamu semua bersusah payah panjat bukit ni semata-mata nak menjatuhkan maruah kami ... terserahlah. Sebab tiada yang jahat yang kami lakukan di sini selain menikmati keindahan ciptaan Tuhan, dan Indra pun telah melamar saya dan saya menerimanya.

Tiba-tiba muncul adik lelaki Indra, Iman dari bawah bukit lalu berkata sesuatu. Bukhari dan teman-temannya tersipu-sipu lalu beredar dari situ kerana ternyata Indra dan Cikgu Yasmin tidak 'berdua-duaan' tetapi 'bertiga-tigaan'.

Meloyakan benak

Dialog-dialog seperti ini tentunya memualkan dan meloyakan benak orang-orang yang masih ada sensitiviti terhadap agama. Sungguh aneh! Kedangkalan hujah Yasmin tidak dapat dijawab oleh Bukhari dan teman-temannya.

Bolehkah diterima hujah 'melihat keindahan alam' dapat mengharuskan dua insan yang tiada ikatan pernikahan untuk duduk bermesra-mesraan sekali pun ada orang yang ketiga (seorang budak bermain jauh dari tempat tersebut)?

Adakah keputusan Yasmin menerima lamaran Indra dapat menghalalkan mereka bebas ke sana sini sebelum ada ikatan yang sah (nikah)? Adakah dengan hanya menyatakan ayahnya seorang guru agama di Universiti Islam Madinah dan ijazah UIA kepunyaan beliau dapat menjadi hujah untuk menghalalkan yang haram? Adakah munasabah bagi seorang gadis yang memiliki kelulusan dan mengetahui hukum-hakam agama Islam seperti Yasmin untuk mendedahkan aurat dan berpeluk-peluk dengan kekasihnya Indra (lihat di penghujung filem)?

Adakah para ahli akademik, mahasiswa-mahasisiwi di Universiti Islam Madinah dan UIAM tidak merasa terhina kerana nama baik institusi pengajian mereka dipermainkan oleh mereka yang bankrap jiwa ini?

Saya berpendapat mungkin bentuk 'Islam' yang difahami oleh pengarah dan pelakon filem ini (Fasha Sandha) dapat dinilai melalui rambutnya yang terbuai-buai ditiup angin, baju yang mendedahkan dada dan kain yang terbelah! Semua itu HALAL kerana ayahnya seorang guru agama di sebuah Universiti Islam yang terkemuka?

Yasmin (Fasha) ada melontarkan satu soalan, "Siapa yang berkata begitu? Bukankah Tuhan saja yang berhak menjatuhkan hukum itu?"

Ya! Allah Azza wa Jalla telah berfirman (yang bermaksud): “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” (al-Israa’ : 32)

Al-Hafiz Ibnu Kathir r.h. telah menafsirkan ayat ini dengan berkata bahawa ayat ini merupakan larangan dan tegahan Allah Azza wa Jalla terhadap hambaNya akan perbuatan zina serta melarang menghampirinya (zina) yang merupakan perkara-perkara penyebab dan pendorong untuk melakukan zina.

Yang dimaksudkan menghampiri zina di sini ialah perkara-perkara yang menjadi penyebab kepada zina seperti lelaki dan perempuan yang bukan muhrim bergurau senda, bergaul dan berhubung di antara lelaki dan perempuan tanpa sebab-sebab yang dihalalkan oleh syarak, berbual-bual dengan perkara-perkara yang menaikkan syahwat dan sebagainya.

Sekat jalan kemungkaran

Islam meletakkan kaedah ‘saddu zarai`e’ - menyekat segala jalan yang mendorong kepada berlakunya satu-satu kemungkaran. Mungkin pada pengarah dan penulis lakonlayar filem ini, perbuatan Indra dan Yasmin tidak HARAM, tetapi SUNAT kerana mereka hanya menghayati keindahan alam.

Sebenarnya kecenderungan para karyawan filem tempatan untuk memberi imej buruk kepada golongan yang 'berserban dan berjubah' dan mengangkat golongan 'rendah akhlak' yang dominan dan terbanyak bukanlah fenomena baru!

Sebahagian karyawan filem Melayu begitu cenderung untuk menampilkan Islam yang kononnya liberal. Isteri kepada pengarah filem ini iaitu Erma Fatima juga pernah cuba memainkan sentimen tersebut di dalam filemnya - Perempuan Melayu Terakhir (1999). Pengarah Aziz M. Osman telah mendahului lebih awal di dalam filemnya - Fenomena (1990).

Lihat pula bagaimana imej Islam yang digambarkan di dalam Puteri Gunung Ledang (2004). Tentera kerajaan Demak (tentera Islam berpakaian serba putih) menyerang penduduk kampung yang ketakutan dan membakar rumah-rumah dalam jajahan Majapahit apabila penguasa Kadipaten-Majapahit, Gusti Adipati Handaya Ningral (Alex Komang) menolak tawaran Sultan Demak supaya menerima kerajaan Demak sebagai pelindungnya.

Di penghujung adegan sadis itu, Pangeran Benowo (Azmil Mustaffa) yang memimpin tentera tersebut, kelihatan puas dengan serangannya. Lihat pakaian Pangeran Benowo yang begitu segak memacu kuda dengan jubah hitam dan serban putih sambil menghunus pedang. Lihat juga keangkuhan Pangeran Benowo ketika berhadapan dengan Laksamana Hang Tuah. Mungkin untuk meraih perhatian antarabangsa (menyertai Academy Award), penerbit dan pengarah filem ini terlupa pada sensitiviti masyarakat Malaysia yang majoritinya beragama Islam. Tahniah kerana menghidangkan gambaran ‘Islam yang ganas’ di peringkat antarabangsa!

Islam tidak pernah mengajar budaya ‘barbaric’ dalam peperangan. Banyak hadis-hadis yang menerangkan adab-adab dalam peperangan. Di antaranya hadis dari Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Bertolaklah kamu (ke medan jihad) dengan nama Allah dan dengan Allah serta di atas agama Rasulullah dan jangan kamu membunuh orang tua yang lemah, kanak-kanak dan bayi serta perempuan dan janganlah kamu melampaui (dalam pengambilan harta rampasan sebelum ianya dibahagikan) dan hendaklah kamu menghimpunkan harta-harta rampasan kamu serta perbetulkanlah (segala urusan kamu) dan berbuat baiklah (sesama kamu) sesungguhnya Allah menyintai orang yang berbuat kebaikan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Daripada Abdullah r.a bahawa seorang perempuan telah dijumpai terbunuh di dalam beberapa peperangan Rasulullah s.a.w maka Rasulullah s.a.w membantah pembunuhan ke atas perempuan dan kanak-kanak. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Hanzalah al-Katib r.a berkata: “Kami telah berperang bersama Rasulullah s.a.w maka kami telah melalui di (tempat) perempuan yang dibunuh yang dikerumuni oleh orang ramai lalu mereka berpecah (disebabkan kedatangan Rasulullah s.a.w) maka (Rasulullah s.a.w) bersabda: “Mengapa perempuan ini dibunuh dan siapa yang membunuhnya?”, kemudian (Rasulullah s.a.w) berkata kepada seorang lelaki: “Pergilah kamu kepada Khalid bin Walid dan katakanlah kepadanya bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w menyuruh kamu dengan berkata: “Janganlah kamu membunuh zuriat (wanita-wanita dan anak-anak kecil) dan ‘a’siif’ (pekerja yang dibayar upah)”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Perkataan “A’siif” bermaksud para pekerja yang dibayar upah bagi sesuatu pekerjaan dan juga para petani dan para pekerja pembinaan. Perlu ditegaskan di sini, peperangan dalam Islam bukanlah untuk memusnahkan bangunan dan harta benda. Hal ini boleh dirujuk dalam kitab ‘al-‘Ilaqaat ad-Dauliah Fil-Islaam, karangan Syeikh Muhammad Abi Zuhrah.

Perempuan Melayu Terakhir

Kembali kepada Perempuan Melayu Terakhir (1999), di antara dialog yang diungkapkan dalam filem ini ialah Mustika (Vanida Imran) cuba mempersoalkan pendirian tunangnya Engku Leh (Azri Iskandar) tentang Islam: "Adakah bertudung litup, itu baru Islam pada pandangan abang?"

Walaupun watak Engku Leh digambarkan sebagai seorang yang tidak waras dan ekstremis dengan ratib yang tak henti-henti dan menghunus senjata di tepi tasik (satu lagi wajah Islam yang mengelirukan), itu bukan hujah untuk mewajarkan dialog yang sebegitu biadap!

Dalam filem tersebut, watak Mustika dilihat sering menghabiskan masa bersama Heikal (Eizlan Yusof) yang menambahkan lagi konflik di antaranya dan Engku Leh. Mustika adalah seorang pencinta seni tarian kebudayaan dan mampu menyesuaikan diri dengan arus kontemporari - simbol wanita Melayu moden.

Mungkin bagi Erma Fatima, seorang ‘wanita Melayu Islam yang sejati’ ialah perempuan yang tidak menutup aurat, yang mengkhianati tunangnya (lihat adegan berahi di antara Mustika dan Heikal di dalam filem ini).

Dialog-dialog di antara Heikal dan Mustika yang sarat berbaur falsafah, mitos Hindu, hipotesis kemelayuan yang kabur – Erma dilihat cuba juga untuk menyelitkan subjek keagamaan yang kontang daripada roh Islam yang sebenar sehingga terasa Erma seakan memandai-mandai!

Aziz M. Osman pula menggambarkan yang orang-orang 'berserban dan berjubah' sebagai golongan yang jumud dan melampau apabila membantah "konsert amal" yang dijayakan oleh Isabella (Ramona Rahman) dan Suhaimi (Amy Search) demi untuk menampung kos pembedahan jantung anak perempuan kepada Azlan (M.Nasir).

Kelodak filem Melayu

Yang demikian hanyalah sedikit contoh yang dapat saya ceduk daripada kelodak dan lumpur filem-filem Melayu. Tentunya para pembaca dapat memberikan contoh-contoh lain yang lebih meloyakan lagi.

Sebagai contoh, perhatikan dialog ‘Islamik’ Erra Fazira dalam Pasrah (2000).

Persoalannya mengapa mereka terlalu prejudis terhadap golongan yang berimej agama dalam memberi ‘wajah Islam’ yang lain? Adakah ianya sebagai satu eskapisme untuk menutup kebejatan moral golongan yang mengambil mudah soal menutup aurat, golongan yang rendah akhlak, penganut ‘liberalisme’ kabur dan sejumlah besar lagi bentuk budaya hedonisme yang jelas-jelas bertentangan dengan nilai-nilai agama dan budaya kita masyarakat Timur?

Perbuatan memberikan gambaran yang salah tentang Islam ini mestilah dihentikan dengan segera! Saya melihat sekiranya tiada usaha untuk membendung gejala 'jahil murakkab' ini, mungkin generasi 'Islam Hadhari' yang bakal lahir nanti lebih berani lagi secara terang-terangan menghalalkan zina dan seks bebas kerana – 'menghargai nafsu yang dianugerahkan Tuhan'?

Fikirkan! - um

No comments: